Tuesday, 11 June 2013

Alkisah bikin filem...

Salam 1Malaysia,

Hari ni masuk hari ketiga saya bercuti panjang selama 2 minggu.
  Apa pelan? Memang saya mahu bercuti selepas 7 bulan bekerja untuk Pilihan Raya Umum ke-13 tetapi di samping berehat sepuasnya makan, tidur dan jaga Danial selepas balik sekolah, saya juga merancang mahu mula projek skrip filem pertama.
  Ya! saya ambil keputusan beri fokus pada filem selepas kecewa dengan sikap stesen TV termasuk produser yang gagal jadi tukang jual yang terbaik.
  Seperti bidang kewartawanan, nak pilih berita muka depan bergantung pada bahan berita dan cara tukang jual menjual berita itu.
  Pernah berlaku pada saya sendiri, berita yang berpotensi keluar muka depan tapi tukang jual pula tak pandai jual.
  Begitu juga alkisah dengan segelintir produser umpama hangat tahi ayam tapi kesudahannya habuk pun tarak!
  Namun, saya tidak putus asa terus menghantar 'proposal' baru kepada produser lain untuk mencuba nasib lagi dan lagi.
  Jangan buang masa! Jadi, saya dah mula hantar 3 sinopsis filem baru kepada 3 produser terkenal. Salah satu sinopsis adalah idea asal saya ketika sertai Masterclass Screenwriting di Finas, dua tahun lalu.
  Esok saya akan berjumpa dengan 2 produser berkenaan berbincang lanjut. Insha Allah, jika ada rezeki saya amat berharap 3 projek ini bermula. 
  Moga kisah hidup saya sebagai penulis skip sejak lima tahun lalu menjadi teladan pada orang lain.
  Saya percaya setiap kejayaan perlu melalui kepayahan dan cabaran. Moga tahun 2013 mengangkat karya skrip saya ke layar perak! Jumpa lagi...


Gambar ini diambil pada 3/3/2013 iaitu tarikh saya melaporkan diri sebagai wartawan di Harian Metro lima tahun lalu.


Saya bangga menjadi rakyat Malaysia yang sayangkan tanah air, DYMM Seri Paduka Yang di-Pertuan Agong, Perdana Menteri  dan kerajaan pemerintah! 

Wednesday, 15 May 2013

Elrafaei kini menjadi 'Mayor'!

"Dipersembahkan, Raja Rimba di Bandar New York.. Alex sang singa!!!".
  Hebat tak dialog tu? Itu adalah antara dialog watak Mayor atau Datuk Bandar yang saya lakonkan dalam filem animasi alih suara Bahasa Malaysia (BM), Madagascar 3: Europe's Most Wanted.
  Semalam (15/5/2013) saya selesai buat proses 'dubbing' filem ini di Astro.Seperti  pengalaman pertama ketika menjayakan filem The Smurfs tahun lalu, perasaan kali ini turut mengujakan.
  Menariknya, filem untuk saluran HBO di Astro ini akan ditayangkan pada 8 Ogos nanti sempena Hari Raya Aidilfitri. 
  Ramai artis terbabit sama termasuk Hafiz AF, Fahrin Ahmad, Didie Alias, Zahid (Era FM) termasuk penyanyi Taufik Batisah dan Najib Ali dari Singapura dan artis Brunei. Filem ini akan ditayangkan serentak di tiga negara iaitu Malaysia, Singapura dan Brunei.
  Barisan artis juga akan terbabit menjayakan program CSR pada Ramadan nanti. 
  Kepada semua penonton Astro khusus HBO dan animasi, jangan lupa saksikan filem animasi versi BM, Madagascar 3: Europe's Most Wanted pada 8 Ogos nanti jam 8 malam hanya di HBO dan HBO HD. 



Saturday, 11 May 2013

Tahniah Harian Metro!

Akhbar harian nombor 1, Harian Metro mencipta sejarah pada 6 Mei 2013 apabila mencatat jualan 602,005 naskah! Kejayaan ini susulan laporan berita menyeluruh Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).
Saya sendiri berkongsi pengalaman selama sebulan membuat liputan PRU13. Menariknya, saya diberi tanggungjawab mengikuti perkembangan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan melaporkan keputusan penamaan calon dan PRU13 di kawasan Parlimen Pandan bersama DUN Chempaka serta Teratai.
Dalam sibuk menjalankan tugas, saya masih sempat pulang seketika ke kampung halaman di Ipoh Perak untuk menunaikan tanggungjawab mengundi di SJK Tamil Klebang untuk Parlimen Tambun dan DUN Manjoi.
Apapun, tahniah buat Harian Metro dan BN atas kejayaan terus menerajui Malaysia. Bak kata Dr Sam, Saya Anak Malaysia!